Friday 17 February 2017

SESI PERKONGSIAN GURU /TEACHER SHARING SESSION (FULL VERSION)



Pengenalan

Amalan berkolaboratif sesama rakan sekerja, serta perkongsian bahandan pengetahuan merupakan satu aspek yang kurang penting dalam kalangan ahli bagi kebanyakan organisasi pendidikan. Menurut Briscoe dan Peters (1997), guru kurang berkolaboratif antara satu sama lain; mereka menguruskan bahan mereka sendiri dan menyimpan amalan pedagogi untuk kegunaan mereka sendiri. Ramai pendidik mengesyorkan supaya budaya autonomi ini perlu diubah demi kebaikan semua pihak melalui pembudayaan amalan sesi perkongsian guru (Sharing Session). Dalam erti kata lain, peluang mesti diwujudkan untuk membantu ahli organisasi mengenalpasti, membiasakan diri serta mempraktikkan amalan berkolaboratif dan perkongsian amalant erbaik agar perkongsian ilmu menjadi satu budaya di tempat kerja. Melalui cara ini, pengetahuan, kemahiran, pengalaman dan amalan pedagogi dapat disebarluas dalam kalangan ahli organisasi tersebut di samping mempertingkatkan kemahiran guru dan kualiti pengajaran dan pembelajaran.


Definisi Sesi Perkongsian


Sesi perkongsian (Sharing Session) merujuk kepada sekumpulan guru (dari institusi yang sama atau yang berbeza) bertemu secara kerap atau berkala secara formal untuk berkongsi pengetahuan, kemahiran , pengalaman, dan amalan pedagogi yang terbaik. Amalan ini tidak mengehadkan bilangan guru dalam sesuatu kumpulan tetapi memadai dengan hanya dua orang guru yang berkongsi pengalaman sesame sendiri. Perkongsian dalam kalangan ahli yang lebih ramai akan memberikan lebih banyak ruang pengisian dan aspek pengetahuan, kemahiran, pengalaman dan amalan pedagogi yang berbeza dan pelbagai. 


Matlamat Sesi Perkongsian

Sesi perkongsian bermatlamat meningkatkan kualiti perkongsian ilmu antara ahli melalui penyebarluasan pengetahuan, kemahiran , pengalaman, dan amalan pedagogi sedia ada dalam sebuah organisasi. Perkongsian ini membolehkan ahli belajar sesame sendiri bagi memahami dunia pengetahuan dan persekitaran mereka.( Carroll et al, 2003 ). Dalam erti kata lain, perkongsian guru merupakan satu elemen penting dalam perkembangan profesionalisme seorang guru (teacher profesional development).

Sesi perkongsian memberikan peluang kepada guru berkongsi pelbagai pengetahuan, kemahiran, strategi, kaedah, bahan, sumber, pengalaman dan sebagainya dalam konteks profesionalisme keguruan. Proses ini berlaku dalam kalangan guru dan merupakan satu cara mencungkil amalan terbaik dunia keguruan.


Objektif Sesi Perkongsian
  1. Menyebarluaskan pengetahuan kepada semua individu dalam sebuah organisasi. 
  2. Menyediakan rangsangan stimulasi dan sokongan untuk guru. 
  3. Membantu pembangunan dan profesionalisme keguruan.

JenisPerkongsianGuru 

Sesi perkongsian melibatkan perkongsian pelbagai pengetahuan, kemahiran, pengalaman, dan amalan pedagogi dalam kalangan ahli. Secara am, perkongsian ini dapat diklasifikasikan kepada dua jenis iaitu;
  1. Perkongsian bahan maujud.  Contohnya: bahan bantu mengajar, laman sesawang, lembaran kerja, rancangan pengajaran dan skema  pemarkahan.
  2. Perkongsian bahan bukan maujud. Contohnya: amalan pedagogi seperti amalan P & P, pengurusan murid, pengurusan bilik darjah, kemahiran, pengalamandan lain-lain.

Elemen dalam Sesi Perkongsian 

Eriksson& Dickson (2000) merumuskan bahawa terdapat empat elemen utama dalam sesi perkongsian iaitu:
  1. Proses perkongsian penciptaan ilmu: proses mencipta dan menyebarkan ilmu. (shared knowledge creation process: the process of creating and distributing knowledge).
  2. Prasarana teknologi maklumat: system dan alat yang menyokong penyebaran maklumat. 
  3. Pemangkin: media yang mempermudah dan mengwar-warkan perkongsian maklumat.
  4. Nilai, piawaian dan prosedur: nilai social dan budaya yang mempengaruhi pemikiran individu (kesanggupan atau kesediaan untuk berkongsi). 


Pelaksanaan

Sesi perkongsian yang berkesan memerlukan perancangan dan persediaan awal seperti yang digambarkan dalam rajah di bawah:
Kitaran sesi perkongsian


Strategi Perkongsian

Strategi 1: Show, Tell, Share
  1. Peserta sesi perkongsian membentangkan kaedah/ inovasi/ amalan yang berjaya di hadapan semua orang secara bergilir-gilir.
  2. Pembentang boleh menggunakan pelbagai kaedah untuk menyampaikan maklumat cth: pembentangan Power Point, demonstrasi dan modelling. Pembentang boleh mengedarkan bahan (hard copy/ soft copy) kepada setiap ahli.

Strategi 2: Pillow Talk & Gallery Walk
  1. Peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil (cadangan 5 orang dalam satu kumpulan).
  2. Sebiji bantal akan diletak di tengah dan seorang peserta diminta mengambil bantal tersebut. Apabila peserta tersebut telah berkongsi SATU kaedah /inovasi /pengalaman yang berkaitan dengan pembelajaran dan pengajaran, pengurusan kelas /murid dan lain-lain, bantal tersebut akan diambil secara bergilir-gilir oleh peserta lain yang bersedia untuk berkongsi kaedah /inovasi atau pengalamannya yang berjaya. Setiap peserta diwajibkan mengambil bahagian secara aktif. (Cadangan peruntukan masa: 5 – 10 minit)
  3. Fasilitator meminta peserta mencatat aspek yang menarik daripada sesi pillow talk. 
  4. Peserta menghasilkan nota /catatan bagi tujuan aktiviti gallery walk pada kertas mahjong.
  5. Kertas mahjong ditampal pada dinding dan seorang ahli kumpulan dilantik untuk menyampaikan penerangan semasa sesi gallery walk. 
  6. Semasa sesi gallery walk semua peserta akan pergi ke setiap stesen dan penerangan diberikan oleh wakil yang dilantik.

Strategi 3: Tongkat Sakti 

Anda telah menjumpai satu tongkat sakti yang membolehkan anda membuat perubahan kepada TIGA aktiviti berkaitan kerja anda. Anda boleh mengubah apa sahaja yang anda mahu iaitu mengubah diri, kerja, pentadbir, rakan sekerja, projek penting anda dan sebagainya.
  • Minta peserta berbincang mengapa perlu ada perubahan.
  • Variasi yang lain: peserta berbincang apa yang akan diubah oleh mereka sekiranya mereka diberi peluang menjadi guru besar/ pengetua untuk tempoh sebulan.
Aktiviti ini membantu mereka mempelajari keinginan (desires) dan kekecewaan (frustrations) orang lain.

Strategi di atas membolehkan guru menjana idea dan kerangka dalam usaha merancang sesi perkongsian bersama guru-guru lain. Anda boleh menggunakan kerangka ini sebagai panduan asas dalam sesi perkongsian. Namun, sesi perkongsian anda akan lebih memberikan makna dan lebih Berjaya sekiranya anda mampu menyesuaikannya dengan konteks dan suasana sekolah dan institusi tempat anda bertugas.

Oleh sebab sesi perkongsian bersifat komunikasi verbal, elemen pertuturan dan pendengaran menjadi focus utama aktiviti ini. Bagi memberikan impak yang maksimum dalam sesi perkongsian ini, sesi refleksi (Sarana 1) boleh digunakan bagi membantu guru untuk mencatat isi-isi penting secara ringkas semasa sesi perkongsian dijalankan.


Bahan sarana
 

Teacher Sharing Session: Toolkit from Mokhzani Fadir


 Bahan Pembentangan
 

3 comments:

  1. t.ksih atas perkongsian en mokhzani

    ReplyDelete
  2. Perkongsian yang bermakna

    ReplyDelete
  3. Terimakasih banyak sangat atas perkongsian yg sgt bermanafaat ini. Semoga menjadi ibadah yg diterima Allah

    ReplyDelete