Friday 17 February 2017

LESSON STUDY (FULL VERSION)



 Latar Belakang dan Pengenalan

Lesson Study ialah satu model perkembangan profesional guru yang diamalkan di Jepun lebih daripada seabad lamanya (Isoda, 2007). Namun, model ini lebih mantap pada tahun 1960an dan kini, telah menjadi sebahagian daripada budaya guru-guru Jepun khususnya di sekolah-sekolah rendah (Fernandez & Yoshida, 2004). Lesson Study, dalam bahasa Jepun dikenali sebagai Jugyoukenkyuu. Jugyou bermaksud pelajaran atau pengajaran, manakala kenkyuu ialah kajian atau penyelidikan. Dalam erti kata lain, Lesson Study ialah kajian, penyelidikan atau penelitian terhadap pengajaran guru dalam bilik darjah.

Permulaan dan perkembangan Lesson Study ke negara-negara lain boleh dikaitkan dengan Kajian Video TIMSS (Third International Mathematics and Science Study) pada tahun 1995. Kajian video ini melibatkan tiga buah negara: Amerika Syarikat, Jerman dan Jepun telah mendapati pengajaran dan pembelajaran matematik di Jepun amat berkualiti dan berkesan. Dalam buku “The Teaching Gap”, analisa kajian video TIMSS dihuraikan dan Lesson Study dikenalpasti sebagai faktor penyumbang kepada prestasi tinggi pengajaran guru-guru Jepun dalam bilik darjah (Stigler & Hiebert, 1999). Semenjak itu, kajian-kajian penyelidikan mengenai Lesson Study telah menunjukkan bahawa model ini mampu meningkatkan dan melestarikan kualiti pengajaran guru dan pembelajaran murid dalam jangka masa panjang.

Pada amnya, Lesson Study menyediakan suatu wacana atau peluang untuk peningkatan profesionalisme guru. Berbanding dengan model perkembangan profesional guru yang lain, Lesson Study adalah unik dan model bottom-up: ia adalah atas inisiatif guru-guru sendiri dan bukan arahan pihak atasan. Dalam usaha menerapkan budaya Lesson Study, guru-guru perlu mengubah paradigma selaras dengan konsep pembelajaran sepanjang hayat. Melalui pendekatan ini, guru-guru sekolah secara kolaboratif berusaha menghasilkan Rancangan Pengajaran Harian

(RPH) yang berfokus kepada pembelajaran murid. Amalan kolaboratif yang memerlukan penggemblengan idea, pengalaman dan kemahiran akan meningkatkan pengetahuan isi kandungan dan juga pengetahuan kandungan pedagogi guru. Proses dalam Lesson Study yang merangkumi perjumpaan dan perbincangan sekumpulan guru mampu memupuk percambahan ilmu, perkembangan idea serta kreativiti individu dalam proses pembinaan RPH secara bersama. Amalan begini juga boleh memupuk semangat kekitaan dan rasa kepunyaan (sense of belonging) antara guru di sekolah. Kebaikan amalan sebegini sewajarnya dipupuk dan dimantapkan secara berterusan agar menjadi budaya kerja oleh guru-guru di sekolah seterusnya. Amalan ini diharapkan dapat menghasilkan sekolah yang cemerlang, berkualiti dan bertaraf dunia.

Ciri-ciri Lesson Study  
Menurut buku “The Teaching Gap” (Stigler & Hiebert, 1999), Lesson Study mempunyai ciri-ciri berikut:
(i) Lesson Study ialah model yang berasaskan peningkatan profesional guru berterusan secara jangka panjang.
(ii) Lesson Study berfokus kepada pembelajaran pelajar.
(iii) Lesson Study berfokus secara langsung kepada peningkatan pengajaran berdasarkan kesesuaian murid.
(iv) Lesson Study ialah satu usaha yang kolaboratif dalam kalangan guru.
(v) Guru yang terlibat dalam Lesson Study melihat diri mereka menyumbang Kepada perkembangan pengetahuan mengenai pengajaran dan juga Perkembangan profesional diri sendiri.

Ciri-ciri Lesson Study yang dinyatakan di atas adalah sejajar dan selari dengan prinsip-prinsip perkembangan profesional guru yang berkesan dalam literatur (Rujuk Darling-Hammond & McLaughlin, 1995; Loucks-Horsley et al., 1996; Guskey, 1997; Hawley & Valli, 1999). Prinsip-prinsip perkembangan profesional guru berkesan merangkumi perkara-perkara yang berikut:
(i) berfokus kepada hasil pembelajaran pelajar.
(ii) membuka peluang kepada guru untuk mengembangkan pengetahuan dan kemahiran pengajaran.
(iii) berasaskan penyelesaian masalah berkolaborasi
(iv) berasaskan sekolah (school-based)
(v) memerlukan sokongan berterusan serta on-going.

Oleh yang demikian, boleh dirumuskan bahawa Lesson Study memenuhi kriteria satu model perkembangan profesionalisme guru yang berkesan.


Kitaran Lesson Study 

Ringkasnya, Lesson Study ialah amalan guru-guru secara kolaboratif untuk:
1) Menentukan goal dan objektif pengajaran.
2) Merancang dan menyediakan Rancangan Pengajaran Harian (RPH).
3) Membuat pemerhatian terhadap pengajaran guru.
4) Membuat refleksi terhadap pengajaran dan pembelajaran.
5) Mengubahsuai untuk menambahbaik Rancangan Pengajaran Harian (RPH). 

Lesson Study perlu dilaksanakan secara sistematik dan teratur agar guru-guru yang terlibat mendapat impak yang sewajarnya. Keberkesanan Lesson Study bergantung kepada penglibatan guru secarasepenuhnya, pada (intense) dan kerelaan hati. Kitaran lesson Study dapat dilihat melalui Rajah 1 di bawah.



Pelaksanaan Lesson Study
Secara amnya, langkah-langkah melaksanakan Lesson Study adalah seperti berikut:

1)
Membentuk kumpulan Lesson Study dan menentukan matlamat/ goal. 

    a. Melantik seorang Ketua Kumpulan.
    b. Kaji matlamat kurikulum dan sukatan pelajaran.
    c. Kaji dan bincang masalah pembelajaran murid.
    d. Bincang dan tentukan matlamat atau goal yang hendak dicapai.

2) Rancang/ Bina Rancangan Pengajaran Harian (RPH). 
Pilih unit/ tajuk yang hendak diajar dalam satu sesi pengajaran.
b. Bincang masalah pembelajaran murid berkaitan dengan unit/ tajuk berkenaan.
c. Bina langkah-langkah dalam RPH dan sediakan sumber pengajaran.
d. Fikirkan dengan mendalam strategi pengajaran yang sesuai digunakan.
e. Fikirkan dan jangkakan respon murid semasa proses pengajaran.
f. Bentang dan lihat semula strategi pengajaran dengan teliti.
3) Pelaksanaan pengajaran.
a. Seorang Pakar Rujuk (PR) atau Knowledgeable Other (KO) dijemput sebagai pemerhati, pemberi komen dan cadangan bagi langkah-langkah penambahbaikan dalam RPH. Sebelum itu, ketua kumpulan perlu memberi taklimat ringkas kepada PR atau KO berkaitan dengan skop pengajaran yang akan dilaksanakan.
b. Seorang/ lebih dikalangan guru dalam kumpulan akan melaksanakan pengajaran kepada kelas tertentu yang telah dipilih pada peringkat awal seperti yang terdapat di dalam RPH yang disediakan secara kolaboratif.
c. Ahli kumpulan dan guru-guru lain hadir bersama sebagai pemerhati dan mengumpul data-data atau maklumat sepanjang sesi pengajaran tersebut untuk sesi perbincangan/ refleksi. (Gunakan borang pemerhatian yang disediakan).
d. Ahli kumpulan dan guru-guru lain digalakkan melihat hasil pembelajaran murid tanpa mengganggu mereka ketika belajar.
e. Data yang dikumpul termasuk interaksi antara guru-murid dan hasil pembelajaran murid. Fokus utama diberikan kepada respon, tingkah laku dan pembelajaran murid. Elakkan fokus kepada pengajaran guru.
f. Sepanjang pemerhatian, guru perlu sentiasa membuat refleksi kendiri.

4) Sesi Refleksi Pengajaran.
a. Sesi refleksi diketuai oleh ketua kumpulan.
b. Sesi dimulakan dengan melihat semula matlamat atau goal Lesson Study.
c. Guru yang mengajar diberikan peluang terlebih dahulu untuk memberi komen, pandangan dan refleksi terhadap pengajaran yang telah dilaksanakan serta RPH.
d. Seterusnya guru-guru lain yang menjadi pemerhati perlu berkongsi maklumat dan masing-masing perlu menekankan kepada aspek-aspek positif pembelajaran murid. (Berdasarkan eviden atau bukti murid)
e. Guru-guru berkongsi maklum balas yang kritikal berdasarkan pemerhatian guru dan eviden murid.
f. Komen dan bincangkan tentang hasil pembelajaran murid dan isi kandungan atau konten mata pelajaran.
g. Bincang kelemahan dalam RPGH (berdasarkan eviden murid) dan fikirkan cara penambahbaikan RPH.
h. Fikir dan bincangkan dengan mendalam bagaimana hasil pembelajaran murid dapat ditingkatkan dalam sesi pengajaran.
i. Pakar Rujuk bertindak sebagai moderator/ pemudahcara dan mengemukakan pandangan serta cadangan dalam sesi refleksi.
j. Sesi refleksi ini adalah bersifat profesional dan sebarang kritikan atau teguran adalah bertujuan meningkatkan profesionalisme guru.
k. Komen dan hasil refleksi perlu dicatat dan disimpan untuk dijadikan rujukan serta bertujuan penambahbaikan RPH yang akan datang.
l. Pengerusi dan pakar rujuk perlu memainkan peranan untuk memastikan guru-guru aktif dan berfikir secara mendalam semasa sesi refleksi melalui teknik penyoalan isu-isu yang kritikal.

5) Penambaikan RPH dan Pengajaran Semula.
a. Satu sesi perbincangan perlu diadakan bagi membuat penambahbaikan RPH berdasarkan hasil yang diperolehi daripada sesi refleksi.
b. Guru-guru perlu memikirkan secara mendalam bagaimana RPH perlu ditambahbaik bagi mengatasi kelemahan-kelemahan yang telah dikenalpasti dalam sesi pengajaran yang lepas.
c. Perbincangan secara mendalam dan fokus kepada pembelajaran murid.
d. Sesi ini dilaksanakan secara kolaboratif antara guru dan ketua kumpulan perlu memainkan peranan seupaya setiap guru terlibat secara aktif.
e. Kumpulan guru akan menentukan samada pengajaran semula RPH yang telah ditambahbaik dilaksanakan terhadap kelas yang sama atau sebaliknya. Sekiranya pengajaran dilaksanakan, proses dalam langkah 3 dan 4 perlu diulang semula.
f. Laporan kitaran Lesson Study perlu didokumenkan untuk rujukan dan panduan masa akan datang. 

 Peranan Pakar Rujuk (Knowledgeable Others). 

Dalam konteks Lesson Study, knowledgeable others berperanan sebagai pakar rujuk dalam pengajaran dan pembelajaran. Peranan utama mereka termasuk memberikan pandangan dan idea terhadap pengajaran guru serta cadangan penambahbaikan bagi meningkatkan hasil pembelajaran murid. Pakar rujuk biasanya terdiri dikalangan pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG), guru cemerlang mata pelajaran atau sesiapa sahaja yang berkebolehan dan boleh dikategorikan sebagai Subject Matter Expert (SME). Yang paling penting, pakar rujuk mampu menggunakan sesi refleksi untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran guru dalam pengajarannya.

Kesimpulan.
Sesungguhnya, sangat penting untuk guru menyedari bahawa faedah dan manfaat yang diperolehi melalui Lesson Study menjangkaui proses yang dilalui. Secara sedar atau tidak, pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh akan diaplikasikan secara langsung oleh guru-guru dalam sesi pengajaran mereka di bilik darjah. Budaya Lesson Study diharapkan dapat memupuk kesedaran guru untuk lebih komited dan berdedikasi terhadap profesion perguruan.




Toolkit Lesson Study





No comments:

Post a Comment