Monday 6 March 2017

PENGENALAN KEPADA KOMUNITI PEMBELAJARAN PROFESIONAL


Latar Belakang
Pendidikan memainkan peranan yang penting dalam pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara bangsa. Pembangunan modal insan bertaraf dunia merupakan prasyarat untuk membawa Malaysia ke persaingan ekonomi global abad ke 21. Justeru itu, Program Transformasi Kerajaan (GTP1.0) telah meletakkan pendidikan sebagai salah satu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang mana fokusnya ialah untuk membolehkan semua pelajar mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti dan mampu menguasainya dengan terbaik. Matlamat Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan ialah untuk meningkatkan prestasi pelajar dengan memberi fokus kepada empat sub bidang iaitu PraSekolah, Literasi dan Numerasi (LINUS), Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) dan Tawaran Baru (New Deals) kepada Pengetua/Guru Besar.

Kajian dalam bidang keberkesanan sekolah (school effectiveness) mendapati bahawa prestasi pelajar dipengaruhi oleh system sekolah yang berprestasi tinggi yang didokong oleh dua komponen utama iaitu kualiti kepimpinan dan kualiti guru. Untuk meningkatkan prestasi sekolah melalui peningkatankualiti secara menyeluruh, semua sekolah telah diberikan kedudukan melalui proses penyenaraian dan diberikan tingkat kedudukan(Band 1-7). Sejumlah sekolah dalam kategori berprestasi rendah telah diberikan sokongan dan dorongan untuk penambahbaikan terhadap aspek kepimpinan serta pengajaran dan pembelajaran (PdP). Guru dan pemimpin sekolah diberikan latihan peningkatan profesionalisme oleh bahagian tertentu di Kementerian Pelajaran Malaysia, seperti Bahagian Pendidikan Guru (BPG) dan Institut Aminudin Baki (IAB). Antara inisiatif yang dilaksanakan oleh BPG untuk memastikan kelestarian kualiti guru ialah Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC).

Pemilihan PLC sebagai salah satu inisiatif dalam meningkatkan kualiti guru adalah berdasarkan trend dan perkembangan pendidikan di negara-negara maju di mana pemantapan komuniti pembelajaran profesional dalam kalangan pendidik dlihat sebagai usaha yang dapat meningkatkan profesionalisme guru. Konsep komuniti pembelajaran profesional di negara-negara tersebut merangkumi aktiviti-aktiviti kolaboratif antara pihak sekolah dengan pihak di luar komuniti sekolah. Sekolah boleh membawa masuk pihak berkepentingan dari luar sekolah ke dalam bilik darjah untuk menterjemahkan kurikulum dan penyampaian kurikulum, serta aktiviti kolaboratif antara pihak berkepentingan dengan pihak sekolah untuk memantapkan penyampaian pendidikan bagi meningkatkan pencapaian pelajar.

Pelbagai aktiviti dalam pendekatan Komuniti Pembelajaran Profesional telah digunakan oleh masyarakat guru di negara-negara maju, antaranya ialah pengajaran bersama rakan guru (team teaching), tunjuk cara dalam pengajaran (lesson demonstration), sistem sokongan rakan sekerja (buddy support system), perkongsian pintar antara komuniti sekolah dengan komuniti di luar sekolah, dan pengajaran secara kolaboratif (collaborative teaching). Lesson Study sebagai satu aktiviti pengajaran dan persediaan pengajaran secara kolaboratif semakin mendapat tempat dalam sistem pendidikan di negara-negara maju.

Secaraamnya „Professional Learning Community (PLC)‟ merujuk kepada usaha para pendidik yang komited dan bekerja secara kolaboratif serta berterusan untuk membuat inkuiri atau kajian tindakan bagi mencapai prestasi yang lebih baik untuk murid-murid mereka (DuFour, Eaker, & Many, 2006). Istilah komuniti pembelajaran professional atau professional learning community (PLC) wujud dalam kalangan penyelidik seawal tahun 1960an. Rosenholtz (1989) membuat kajian di 78 buah sekolah dan mendapati bahawa peningkatan dalam pengajaran dan pembelajaran berlaku secara kolektif dan bukan secara individu. Little & McLaughlin (1993) juga melaporkan bahawa sekolah dan panitia yang paling berkesan ialah sekolah yang melaksanakan komuniti pembelajaran yang mantap.

Berdasarkan maklumat ini,pada tahun 2011 Bahagian Pendidikan Guru (BPG) telah melaksanakan PLC bermula dengan strategi „Lesson Study‟ kepada 289 panitia mata pelajaran di 289 buah sekolah berprestasi rendah.Pembudayaan pelaksanaan aktiviti pembelajaran dan pengajaran secara kolaboratif dalam kalangan komuniti guru telah menunjukkan hasil yang memberangsangkan dalam usaha meningkatkan profesionalisme guru berasaskan sekolah. Usaha ini diteruskan pada tahun 2012 kepada 107 panitia mata pelajaran di 107 buah sekolah. Selain daripada „Lesson Study‟, strategi-strategi PLC yang lain seperti Pembimbing Rakan Sebaya (Peer Coaching), Jejak Pembelajaran (Learning Walk) dan Sesi Perkongsian (Sharing Sessions) telah diperluaskan.

No comments:

Post a Comment